Epistemologi, Falsafah dan Etnomatematik

Dalam kertas ini, perbincangan etnomatematik dilihat dari sudut falsafah menerusi aspek sejarah dan epistemologi. Dari segi sejarah, matematik telah dibangunkan dari postulat yang menggabungkan kedua-dua komponen aspek kualitatif dan kuantitatif. Walau bagaimanapun, dalam era berikutnya, aspek kualitatif telah dibayangi dan didominasi oleh aspek kuantitatif. Matematik bebas nilai menjadi rujukan para ilmuwan apabila positivisme menjadi paradigma kajian dalam pendidikan Barat. Dalam penulisan ini, kami ingin menjemput para peserta untuk mempertimbangkan etnomatematik sebagai faktor untuk mengintegrasikan kedua-dua aspek ke dalam acuan pendidikan kita sendiri. Sinopsis buku yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya bertajuk ‘Etnosains dan Etnomatematik Alam Melayu’ diberikan pada penghujung kertas sebagai contoh penyelidikan yang sedang dijalankan di Institut Penyelidikan Matematik atau INSPEM, Universiti Putra Malaysia. Buku yang dimaksudkan bolehlah dianggap sebagai abstrak lanjutan bagi penyelidikan yang dibincangkan dalam kertas ini.